BARCELONA 0 GIRONA 0

Barcelona terlepas peluang untuk melebarkan penguasaan di tangga teratas LaLiga kepada 15 mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Girona di Camp Nou awal pagi tadi.

Selepas Real Madrid tewas mengejut 2-3 kepada Villarreal hujung minggu lalu, Blaugrana kendalian Xavi turut gagal meraih kemenangan berselang dua hari untuk Barca kini mendahului 13 mata di atas pasukan di tangga kedua, Los Blancos.

Aksi tangkas penjaga gol, Paulo Gazzaniga, memastikan gawang pelawat tidak dibolosi sepanjang pertemuan itu sambil Valentin Castellanos pula mensia-siakan peluang terbaik sepanjang 90 minit apabila lencongan yang dilakukannya tersasar dalam babak kedua.

Keputusan tanpa jaringan itu menamatkan rentetan empat kemenangan berturut-turut Barca tetapi skuad bimbingan Xavi itu masih belum kalah di laman sendiri sepanjang aksi LaLiga musim ini, sekali gus kian menghampiri gelaran liga utama berkenaan.

Barca seterusnya akan bertandang ke laman Getafe hujung minggu ini manakala Girona pula akan menantikan kunjungan Elche.