Ansu Fati mahu kekal di Barcelona tetapi bapanya berfikiran sebaliknya.

Pemain berusia 20 tahun itu, yang sudah bersama kelab berkenaan sejak sedekad lalu, telah melakukan 38 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini dengan 27 daripadanya sebagai pemain gantian.

Bori Fati -- yang merupakan pengurus anaknya di samping ejen, Jorge Mendes -- tidak berpuas hati dengan situasi itu dan berasakan pemain sayap berkenaan layak mendapat lebih banyak minit permainan bersama pasukan bimbingan Xavi itu.

"Jika saya dapat menentukannya, saya akan membawanya keluar menyertai pasukan lain tetapi Ansu mahu kekal di Barcelona," kata Bori Fati kepada media Sepanyol, Cope.

"Dia tidak mahu menyertai pasukan lain tetapi saya mahu menyaksikan dia berjaya. Sebagai seorang bapa, saya berasa marah.

"Melihat Ansu hanya dapat bermain dengan sedikit membuatkan anda sedikit bengang dan adakalanya, saya berfikir sebagai seorang bapa, bukan sebagai jurulatih," katanya.