Dari sudut manakah perlawanan Liverpool-Real Madrid yang dimenangi juara bertahan itu 5-2 harus dipandang?

Jika fokus ingin diberi terhadap Madrid, permulaan yang bersesuaian adalah satu temu bual bersama pemain mudanya, Eduardo Camavinga.

Sebelum perlawanan awal pagi tadi, Camavinga mengimbas kembali liku-liku perjalanan Madrid dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim lalu, di mana mereka bangkit semula dengan gagah setiap kali disangka telah kecundang tanpa peluang untuk kembali lagi.

Paris Saint-Germain, Chelsea dan Manchester City masing-masing menjadi saksi bagaimana kemenangan yang disangka sudah dalam genggaman tiba-tiba berubah menjadi kekalahan mengejut gara-gara semangat pemain-pemain Madrid yang tidak pernah berputus asa selagi wisel penamat belum ditiupkan.

Menurut Camavinga, semangat kebangkitan ini yang digelar 'La Remontada' dalam bahasa Perancis bukan setakat laungan keazaman tetapi sudah terpahat dalam kisah sejarah Madrid, dulu, kini dan selamanya.

"Mereka fikir Madrid sudah terkubur tetapi Madrid tidak pernah sesekali mati," ujarnya dalam menyudahi temu bual tersebut.

Stadium Anfield milik Liverpool digelar tempat terkuburnya segala impian pasukan lawan, di mana kisah kebangkitan berlaku hanya untuk menyebelahi tuan rumah semata-mata, bukannya mana-mana seteru.

Mitos itu ternyata tamat dengan tragisnya setelah usai perlawanan di antara kedua-dua pasukan awal pagi tadi.

Berbekalkan kemenangan berturut-turut ke atas Everton dan Newcastle dalam tempoh seminggu lalu, Liverpool memulakan perlawanan dengan penuh bergaya.

Hanya empat minit diperlukan untuk Darwin Nunez membuka jaringan, dengan cantiknya menguis masuk bola hantaran silang Mohamed Salah.

Selang 10 minit kemudian, Thibaut Courtois, penjaga gol yang diibaratkan sebagai tembok besi, melakukan kesilapan yang cukup memalukan dalam mengawal bola lalu menghadiahkan peluang mudah untuk Salah menyumbat masuk gol kedua Liverpool.



Perlawanan baru berlangsung 15 minit tetapi ketika itu keputusan seolah-olah telah terpatri.

Ini Anfield, gelanggang keramat The Reds.

Tidak kira siapa pun musuhnya, mustahil Liverpool bakal tewas setelah mendahului dengan dua gol, bukankah begitu?

Andainya kata-kata Camavinga mereka dengari, mungkin keputusannya bakal berbeza.

Benar, Madrid tidak pernah sesekali mati.

Kita kembali kepada soalan yang ditanyakan awal tadi. Jika perlawanan ini ingin dipandang dari sudut penglihatan Liverpool, soalan yang seharusnya ditanyakan adalah apa yang sebenarnya telah terjadi?

Bagaimana Vinicius Jr yang dikawal ketat tiga pemain dibenarkan untuk melepaskan rembatan cukup jitu dari sudut kiri kegemarannya?

Bagaimana penjaga gol yang berpengalaman dan sentiasa tenang seperti Alisson mampu melakukan kesilapan yang sama lucunya seperti Courtois?

Mengapakah Liverpool mengatur barisan mereka dengan begitu cemerkap sewaktu mempertahankan sepakan percuma Madrid sehinggakan tandukan Eder Militao langsung tidak dihalang oleh seorang pemain pun?

Bagaimana sepakan Karim Benzema yang tidak begitu padu dan tidak mendatangkan sebarang bahaya boleh terbias daripada kaki Joe Gomez sehingga membolosi gawang sendiri akhirnya?

Bagaimana seorang pemain berusia 37 tahun, Luka Modric, yang sudah berlari tanpa henti selama 67 minit mampu untuk meluncur melepasi dua pemain tengah yang jauh lebih muda, Fabinho (29 tahun) dan Stefan Bajcetic (18 tahun) dengan cukup mudah?

Lima soalan, lima gol buat Madrid.



Menurut laporan Daily Mail, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, cuma menonton ulang tayang perlawanan pasukannya dengan Madrid dalam final UCL baru-baru ini kerana kekalahan pada bulan Mei tahun lalu masih begitu pedih terasa.

Kekalahan awal pagi tadi semestinya tidak kurang sakitnya.

Tiada sebarang kata-kata sokongan mahupun penjelasan mampu diberikan untuk mengurangkan kesakitan Liverpool, hatta daripada bekas pemain mereka sekalipun.

Jamie Carragher menegaskan persembahan The Reds sama sekali tidak boleh diterima sambil Steven Gerrard menggesa agar satu siasatan mendalam dilakukan terhadap punca kecuaian barisan pertahanan.

Pemain legenda Arsenal, Thierry Henry, pula memberikan kesimpulan paling menyengat -- kekalahan itu menandakan tamatnya satu era buat Liverpool.

Benar, kisah ini masih belum berakhir kerana kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi di Santiago Bernabeu.

Tetapi, melainkan anda penyokong setia Liverpool yang kekal positif, seharusnya perlawanan akan datang ini tidak lebih daripada satu formaliti semata-mata.