Kurang minit permainan dalam kancah Liga Malaysia tidak dianggap masalah buat kapten skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, dalam menggalas tanggungjawab menjelang pertemuan menentang Jordan esok.

Aidil antara tiga pemain yang menjadi tunjang di bahagian benteng tengah selain Irfan Zakaria dan Dominic Tan yang bakal dipertaruhkan Tan Cheng Hoe.

"Malaysia hanya memiliki tiga pemain pertahanan tengah untuk menghadapi aksi persahabatan bertemu Jordan dan jika tiada masalah, kami akan terus diturunkan dalam perlawanan seterusnya bertemu Uzbekistan," kata Aidil.

"Walaupun kurang minit permainan namun jurulatih sentiasa memberikan pesanan supaya kekal cergas dan sentiasa bersedia untuk diturunkan."

Ketiadaan pemain warisan, Dion Cools, ekoran kecederaan menyaksikan Cheng Hoe hanya mempunyai tiga bek tengah untuk dipertaruhkan dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan esok diikuti dengan Uzbekistan Sabtu ini.

Pemain berusia 34 tahun itu mengakui bukan tugas mudah buat mereka yang menjadi benteng terakhir, apatah lagi berdepan pasukan yang lebih besar di ranking ke-93 dunia.

Selepas menjalani latihan selama lima hari, Aidil tiada masalah bentuk keserasian bersama Irfan dan Dominic yang menjadi nama yang sering dipanggil Cheng Hoe dalam kem latihan kebangsaan.

"Daripada segi keserasian, ia bukan satu masalah bagi saya namun kami harus memastikan kesilapan tidak dilakukan kerana bertemu lawan seperti ini mereka akan menghukum kami," kata Aidil.