Kuching City FC mengakui persembahan kurang memuaskan ketika menentang Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak menyebabkan kekalahan ketiga mereka musim ini.

Penolong ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin, berkata pemain gagal mencipta peluang untuk menjaringkan gol sedangkan Perak FC adalah setaraf dengan mereka.

Menurutnya, sebarang kesilapan perlu dielakkan dan mentaliti pemain perlu berubah jika pasukan mahu berada di tempat terbaik dalam Liga Super.

"Kami tak boleh terus kalah terutama dengan pasukan-pasukan yang setaraf dengan kami seperti Perak. Kami tak boleh lepaskan tiga mata mudah macam ini.

"Bermain dengan Sabah, bermain dengan Selangor, kami boleh terima (kekalahan) sebab mereka pasukan yang bagus. Tapi untuk kalah dengan Perak kami tak boleh terima.

"Empat perlawanan, saya rasa pemain sudah banyak belajar dan mereka akan terus memperbaiki kesilapan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC menentang Kuching City FC di Stadium Perak, malam tadi.

Sulaiman berkata, selepas empat perlawanan, pemain perlu bangkit dan matang jika mahu terus bersaing di dalam Liga Super.

Menurutnya, corak permainan di Liga Super amat berbeza dengan Liga Perdana dan pemain perlu cepat menerima keadaan itu.

"Apabila kami bermain di Liga Super, kami tak ada ruang untuk berfikir. Sekali bola bergerak, kamu sudah berfikir. Kalau nak tunggu bola sampai baru berfikir, lawan dah jauh ke depan.




"Dalam Liga Super kamu tak ada masa. Apabila dapat bola kena fikir tindakan selanjutnya, tak ada masa dan ruang dalam Liga Super untuk seronok bermain," katanya.

Untuk rekod, Kuching City FC hanya mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan dalam empat perlawanan Liga Super musim ini.

Mereka dijadual bertemu Kedah Darul Aman FC pada Jumaat ini di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah.

Kredit: Sinar Harian