West Brom telah menandatangani khidmat pemain tengah Poland, Grzegorz Krychowiak, secara pinjaman daripada Paris Saint-Germain.

Ketibaan Krychowiak selepas turut mendapatkan bek kiri Arsenal, Kieran Gibbs, menandakan hari yang produktif di The Hawthorns.

Pemain berusia 27 tahun itu tiba menyertai PSG daripada Sevilla tahun lalu namun bergelut untuk mendapat tempat di Parc des Princes apabila sekadar membuat tujuh penampilan dalam kesebelasan utama di Ligue 1.

"Ia satu pembelian terbaik kelab ini dan saya tidak sabar untuk berkerjasama dengan Grzegorz," kata Pulis.

"Dia seorang pemain yang mantap dan akan menyuntik kekuatan di bahagian tengah. Rekod membuktikan dia seorang pemain berkualiti.

"Dia telah menjuarai dua Liga Europa dan beberapa kejuaraan domestik bersama Sevilla dan PSG.

"Saya sudah cuba mendapatkan khidmatnya dua tahun lalu namun gagal. Tetapi kali ini saya amat teruja kerana berjaya memujuknya.

"Dia seorang pemain yang kuat dan teknikal. Saya rasa penyokong akan menikmati corak permainannya."

Krychowiak telah menolak beberapa tawaran susulan spekulasi mengenai masa depannya di Perancis semakin memuncak.

"Saya mendapat banyak tawaran daripada Sepanyol dan Itali," katanya.

"Tetapi kelab ini bercita-cita besar dan senario disini kelihatan amat baik."

Krychowiak adalah pemain keenam yang tiba di The Hawthorns di samping Gibbs, Oliver Burke, Gareth Barry, Ahmed Hegazi dan Jay Rodriguez.