Selepas 25 tahun meninggalkan Kelantan, Marko Kraljevic diumumkan sebagai ketua jurulatih baru The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai minggu depan.

Kraljevic, yang juga bekas penyerang Kelantan dari 1991 hingga 1994, menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan misi utama untuk kembali membawa TRW ke saingan Liga Super musim depan.

"Perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila kembali semula ke sini selepas 25 tahun meninggalkan Kota Bharu.

"Saya mengakui kemuncak karier saya sebagai pemain tiba di sini (Kelantan).

"Saya amat teruja dapat kembali bersama rakan-rakan lama dan penyokong Kelantan yang cukup hebat," katanya.

Kraljevic, yang juga bekas pengendali Balestier Khalsa FC dalam Liga Singapura, mengakui terpikat dengan kenangan indah selama empat tahun menabur keringat bersama Kelantan sambil mengakui tugas berat mengemudi TRW untuk kembali menjadi pencabar kejuaraan liga.

"Kelantan tidak sepatutnya beraksi dalam liga kedua (Liga Perdana), sebaliknya perlu berusaha gigih untuk kembali ke Liga Super.

"Saya belum sempat bertemu dengan pemain. Mungkin hari ini.

"Setakat ini, saya hanya melihat aksi mereka dalam Facebook," katanya.

Untuk rekod, Kraljevic dipilih menggantikan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih pasukan itu apabila bekas pengendali kelahiran Perlis berkenaan memilih untuk bersama Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super musim ini.