Niko Kovac menegaskan Bayern Munich tidak akan berdepan laluan mudah dalam pertembungan Kumpulan E, Liga Juara-Juara (UCL) dengan AEK Athens, awal pagi esok.

Berikutan rentetan prestasi hambar kebelakangan ini, Bayern bangkit untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Wolfsburg hujung minggu lalu dan secara tidak langsung meredakan tekanan yang semakin memuncak ke atas Kovac serta juara Bundesliga itu.

Salah satu daripada keputusan buruk terbabit adalah ketika mereka seri 1-1 dengan Ajax yang membabitkan aksi UCL sebelum rehat antarabangsa, justeru Kovac menjangkakan satu lagi cabaran yang sukar apabila pasukannya mengalihkan tumpuan untuk aksi di Greece nanti.

Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan, Kovac berkata: "Saya sendiri telah bersiap hampir dua atau tiga minggu untuk aksi ini.

"Tugas esok sangat jelas -- kami mahu memenangi perlawanan tetapi kami tahu itu tidak akan mudah.

"Kemenangan sentiasa penting. Bagi Athens, ini mungkin peluang terakhir mereka untuk merebut mata bagi menghidupkan harapan dan mereka akan sangat bermotivasi."

Kovac kehilangan khidmat Franck Ribery akibat kecederaan belakang sambil mendedahkan keputusan lewat akan dibuat bagi menentukan peranan David Alaba selepas tonggak kelahiran Austria itu terpaksa dikeluarkan dalam pertengahan saingan dengan Wolfsburg.

"Malangnya, kelibat Franck tidak ada," katanya. "David Alaba pula, kami akan membuat keputusan selepas latihan sama ada dia boleh diturunkan atau tidak. Selain daripada itu, semua orang dalam keadaan baik."

Selepas kembali di landasan kemenangan, pemain pertahanan, Niklas Sule, menggesa rakan sepasukannya agar terus bekerja keras dan meraih mata maksimum.

"Di Bayern Munich, anda akan sentiasa dilanda masalah seandainya gagal memenangi empat perlawanan berturut-turut," katanya.

"Ia memberi kesan dalam sesi latihan sepanjang minggu lalu dan dalam kalangan pemain juga, namun kami terus berjuang dan ia memberikan pulangan kepada kami.

"Kami mahu memulakan siri kemenangan baru dan kami mahu meneruskannya esok. Kami mempunyai karakter yang betul untuk itu dan saya cuba melakukan yang terbaik."