Niko Kovac menggesa Bayern Munich agar mengelakkan kesilapan mudah selepas pasukannya memadamkan kesalahan Mats Hummels untuk mengatasi Hertha Berlin 3-2 dalam masa tambahan ketika aksi pusingan 16 Piala Jerman, awal pagi tadi.

Bayern ketinggalan akibat gol pada minit ketiga oleh Maximilian Mittelstadt tatkala anak buah Kovac gagal menyesuaikan diri dengan corak hantaran jauh lawan.

Selepas Serge Gnabry meletakkan Bayern mendahului 2-1, pemain gantian Hertha Berlin, Davie Selke, menggunakan kesilapan Hummels untuk menyamakan kedudukan dan mengheret aksi ke masa tambahan sebelum tandukan Kingsley Coman memberikan kemenangan buat Bayern.

Bagaimanapun, Kovac masih belum gembira setelah melihat anak buahnya memerlukan masa tambahan untuk mengesahkan slot ke suku akhir.

"Kami perlu menghilangkan kesilapan," kata Kovac.

"Terlalu banyak kesalahan mudah. Jika kami tidak dibolosi dua atau tiga gol, lebih mudah untuk mencipta kemenangan."

Bayern diberi tekanan oleh Hertha sehingga memaksa Hummels melakukan kesilapan ketika permainan sebenar berbaki 23 minit dan membolehkan aksi berlanjutan ke masa tambahan.

Pemain berusia 30 tahun itu gagal menyedari kelibat Selke di belakangnya dan tandukan lemah ketika cuba mengeluarkan bola memudahkan penyerang itu menewaskan penjaga gol, Sven Ulreich, yang tidak mampu berbuat apa-apa.

"Dalam bola sepak, ia biasa berlaku. Kami membantu antara satu sama lain dan sangat komited," ujar rakan gandingan Hummels di bek tengah, Niklas Sule.