Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, mengesahkan aksi kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia yang tertunda sebelum ini akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali bulan depan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Korea Utara akhirnya mencapai kata sepakat untuk melangsungkan perlawanan itu pada 14 November ini di gelanggang berkecuali, selepas kedua-dua pasukan sebelum ini dijadualkan beraksi di Pyongyang.

Persetujuan kedua-dua negara itu memudahkan perlawanan itu untuk dianjurkan dan AFC kini dalam proses menentukan negara mana yang akan menjadi tuan rumah untuk dua perlawanan tersebut.

Syarat utama yang ditekankan AFC buat negara yang akan menjadi gelanggang berkecuali adalah ia mesti mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

"Ia akan dilangsungkan di satu tempat di antara 9 hingga 14 November, dua perlawanan ini akan dilangsungkan.

"Faktor pertama adalah persetujuan persatuan bola sepak yang bakal menjadi tuan rumah dan yang kedua, pihak AFC akan cuba memilih negara yang memiliki hubungan diplomatik dengan Korea Utara demi memudahkan urusan visa dan sebagainya," katanya.

Dalam masa sama, Windsor turut menjelaskan bahawa AFC tidak menganggap aksi yang tertunda tiga kali sebelum ini disebabkan campur tangan kerajaan tetapi lebih kepada isu keselamatan dan situasi politik semasa di Semenanjung Korea.

"Kami faham situasi di sekitar Semenanjung Korea adalah tegang, jadi kami mengambil kira faktor itu sebagai sebab untuk mendapatkan penyelesaian ini tetapi tidak melihatnya sebagai campur tangan kerajaan," jelasnya.