Valencia melengkapkan perpindahan Geoffrey Kondogbia dari Inter Milan secara pinjaman selama semusim dengan pilihan untuk membelinya.

Kondogbia diletakkan harapan tinggi selepas Inter membayar €30 juta (RM151.8j) kepada AS Monaco pada 2015.

Dia membuat 26 kemunculan Serie A dalam musim sulungnya di San Siro dan 24 penampilan musim lalu, namun jurulatih baru, Luciano Spalletti, mahu merombak skuadnya ekoran Inter hanya menamatkan saingan musim lalu di tempat ketujuh.

Skuad Nerazzurri telah mendapatkan Borja Valero dan Matias Vecino dari Fiorentina, secara tidak langsung Kondogbia bukan lagi pilihan di bahagian tengah Inter.

Valencia membawa pemain itu kembali ke LaLiga apabila pemain antarabangsa Perancis itu pernah mewakili Sevilla di antara tahun 2012 dan 2013.

Dia akan bergabung semula dengan Jeison Murillo di Mestalla selepas pertahanan Colombia itu tiba dengan status pinjaman selama dua tahun dari Inter, awal bulan ini.

Valencia memenangi aksi pembukaan LaLiga musim ini dengan mengatasi Las Palmas 1-0, minggu lalu.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.