Selepas mengharungi 12 perlawanan, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara bertahan sembilan kali berturut-turut Liga Super terus menggekalkan rekod tanpa kalah musim ini setelah membenam Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Ini menunjukkan kekuatan Harimau Selatan itu tidak boleh ditandingi oleh semua pasukan yang bertanding sebelum pusingan pertama liga akan berakhir minggu depan.

Bukan mudah bagi semua pasukan apabila berhadapan JDT kerana Estaban Solari mempunyai keseluruhan pasukan yang lengkap di semua bahagian.

Yang lebih menjadi perhatian penulis ialah ketajaman dan persefahaman yang dipamerkan oleh dua penyerang dari benua Amarika Latin, iaitu Bergson de Silva dan Fernando Forestieri, yang setakat ini telah berjaya merobek semua lawannya dalam pusingan pertama liga.

Dengan menjadi penjaring terbanyak Liga Super musim lalu dengan 29 jaringan, pastilah Bergson tidak mahu melepaskan gelarannya itu, namun musim ini rakan sepasukannya, Forestieri, yang juga merupakan saingannya musim lalu, sedang mendahuluinya dengan 13 jaringan setakat ini berbanding Bergson hanya lapan jaringan dikumpul.

Apa yang lebih menjadi tumpuan bukan sahaja ketajaman mencetak jaringan tetapi lebih kepada bagaimana kedua-dua mereka ini membuat keputusan dengan tepat dan pantas sebagaimana yang kita boleh lihat pada jaringan-jaringan yang dilakukan atau umpanan yang dilakukan contoh seperti ketika pertemuan dengan Tok Gajah di mana Forestieri tidak menunggu lama untuk membuat umpanan dengan hantaran ‘half volley’ kepada Bergson untuk jaringan pertama Harimau Selatan.

Begitu juga dengan jaringan kedua JDT dari pemain kelahiran Argentina itu apabila membuat keputusan yang pantas untuk melakukan sepakan lencong walaupun ruang yang sempit.

Dengan keputusan-keputusan tepat dan pantas dibuat oleh mereka, itulah yang telah berjaya membunuh lawan dan dengan reaksi mereka perlu dijadikan pelajaran dan analisis oleh pemain-pemain muda terutamanya.

Apakah kaedah latihan yang dilakukan oleh mereka ini semasa latihan sehingga mereka berjaya melakukannya dan bagaimana cara mereka berfikir semasa dalam kedudukan tidak mempunyai bola.

Itulah kelebihan yang dimiliki pemain-pemain berkualiti seperti Bergson dan Forestieri di mana mereka ini sentiasa berfikir dan bersedia untuk bertindak bagi memastikan kejayaan boleh dinikmati pasukannya.