Ronald Koeman percaya ada sesuatu yang peribadi di sebalik keputusan melarangnya berada di bangku simpanan pemain.

Barcelona akan mengheret Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) ke Mahkamah Sukan Pentadbiran Sepanyol (TAD) selepas pengurus itu bakal terlepas untuk mengetuai anak buahnya di tepi padang dalam perlawanan membabitkan Atletico Madrid, malam ini, yang boleh menentukan gelaran LaLiga.

Koeman digantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah berhubung kenyataan yang dibuatnya terhadap pegawai keempat perlawanan ketika pasukannya tewas mengejut 1-2 kepada Granada, minggu lalu.

Barcelona berharap Koeman dibenarkan kembali untuk perlawanan getir di Camp Nou itu tetapi rayuan mereka tidak berjaya seperti yang diumumkan Rabu lalu, lalu mendorong kelab berkenaan untuk mencuba lagi melalui TAD.

"Ya, saya rasa ia soal peribadi," katanya.

"Kerana merujuk kepada 'karakter' dalam bahasa Sepanyol atau 'seseorang' dalam bahasa Inggeris bukanlah bermaksud satu penghinaan.

"Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memberikan menggantung saya. Jadi ya, ada perkara lain di sebaliknya.

"Lebih baik tidak bercakap soal pengadil kerana secara umum, RFEF telah menurunkan salah seorang pengadil terbaik dalam perlawanan ini.

"Saya mengharapkan Mateu Lahoz akan membuat keputusan dengan tepat, tetapi anda tidak perlu terlalu memikirkan tentang pengadil. Anda harus memikirkan diri sendiri dan merancang.

"Semoga keputusan bantuan video pengadil (VAR) bertindak adil terhadap kami dan Atletico."




Barca melangkah ke Camp Nou dengan dua mata di belakang pendahulu itu sambil Real Madrid turut mengekori pasukan kendalian Diego Simeone dengan margin yang sama dalam satu perebutan kejuaraan yang mendebarkan.

Menjelang pertembungan hebat itu, Barca mengesahkan Ansu Fati mengalami satu lagi kecederaan apabila penyerang Sepanyol itu perlu menjalani prosedur keempat pembedahan lututnya.

Fati mengalami kecederaan meniskus yang serius pada November lalu selepas meledak lima gol dalam 10 penampilan buat Barca.

Pemain berusia 18 tahun itu pada awalnya dijangka kembali pada Mac lalu, tetapi dia terpaksa berehat lama hingga membangkitkan persoalan mengenai karier jangka masa panjangnya.

"Kasihan dia," kata Koeman lagi.

"Saya belum bercakap dengan Ansu. Saya sempat bercakap dengannya sebelum perjalanan ke Porto (untuk pembedahan).

"Ia memerlukan masa yang lama dan ada perkara yang belum pulih dalam tempoh rawatannya -- saya tidak mahu dia terus mengalaminya lagi tetapi tersisih lima atau enam bulan adalah tempoh yang lama.

"Apa yang paling penting ketika ini adalah pemulihan, dia akan sembuh dan bersama kami. Sayang sekali hanya untuk musim depan.

"Adalah penting bahawa kami merindui kelibat pemain sepertinya tetapi apa yang paling mustahak ialah dia dapat pulih dengan baik untuk terus beraksi."