Ronald Koeman membidas Rudi Garcia selepas pengurus Lyon itu menuduh rakan sejawatannya di Barcelona berkenaan bersikap hipokrit.

Minggu lalu, Koeman mengakui tidak senang dengan cara Paris Saint-Germain (PSG) yang "tidak menghormati mereka" selepas sebilangan pemain dan kakitangan gergasi Ligue 1 itu bercakap tentang potensi perpindahan Lionel Messi ke sana.

Namun, ketika menjadi tetamu beIN SPORTS hujung minggu lalu, Garcia membangkitkan bahawa Koeman pada awal musim ini secara terbuka menyatakankan keinginnya membawa Memphis Depay ke Camp Nou sejurus kontrak bersama kelab Perancis itu berakhir hujung musim ini.

"Saya ada terbaca bahawa Koeman agak tersinggung kerana PSG bercakap mengenai Leo Messi sebelum perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) di antara PSG dan Barcelona," kata Garcia.

"Padahal dia tidak pula malu berbincang tentang Memphis Depay bahkan selepas jendela perpindahan ditutup. Tindakan itu sama seperti mencurah air ke tempat yang telah disiram."



Pengurus dari Belanda itu, yang sedang menyiapkan pasukannya untuk aksi separuh akhir Copa del Rey menentang Sevilla awal pagi esok, kemudian membalas komen pengurus kelab Ligue 1 tersebut dalam sidang akhbar semalam menjelang kunjungan ke Estadio Ramon Sanchez Pizjuan.

"Pengurus Lyon gemar bercakap dengan media. Bagi saya dia bukan orang penting," kata bekas pengendali Belanda itu.

"Saya hanya perlu bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan kemudian kami akan melihatnya dari situ."

Messi memasuki empat bulan terakhir kontraknya di Barcelona dan telah dikaitkan dengan perpindahan berprofil tinggi ke PSG pada akhir musim ini.

Tatkala spekulasi mengenai masa depannya terus bergolak, pemenang enam Ballon d'Or dianggap sebagai olahragawan sepanjang zaman.

Perdebatan itu kembali dibincangkan Ahad lalu selepas Tom Brady membantu Tampa Bay Buccaneers memenangi gelaran ketujuh NFL dengan mengatasi Kansas City Chiefs.

"Sukar untuk membuat perbandingan memandangkan tempoh yang berbeza.

"Tetapi apa yang dilakukan Messi adalah sesuatu yang luar biasa -- jumlah gol dan gelaran yang dibawa untuk Barca. Saya tidak menonton Super Bowl tetapi Messi adalah yang terbaik di dunia atas apa yang dilakukannya.

"Sukar membandingkannya dengan Johan Cruyff mahupun Pele, tetapi apa yang saya lihat mengenai Messi adalah sesuatu yang istimewa."



Koeman turut berdepan pilihan sukar untuk membariskan benteng terbaiknya selepas Ronald Araujo menyertai Gerard Pique dan Sergino Dest dalam senarai kecederaan.

Frenkie de Jong digandingkan dengan Clement Lenglet selepas Araujo tersisih dalam kemenangan 3-2 ke atas Real Betis, tetapi ketua jurulatih itu masih belum memutuskan muktamad mengenai barisan pemainnya.

"Memang benar jika kami meletakkan Frenkie sebagai bek tengah maka kami akan kehilangan sesuatu di tengah padang," katanya.

"Sekiranya kami dapat memilih pertahanan tengah pilihan utama, lebih baik meletakkan di sana. Tanpa Frenkie di tengah, kami kehilangan sesuatu."