Miroslav Klose telah kembali bersama Bayern Munich untuk mengendalikan skuad B-17 selepas diumumkan oleh juara Bundesliga itu.

Legenda Jerman itu, yang merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dan juga buat negaranya, akan mengemudi skuad muda Bavarian bermula musim 2018/19.

Klose menyarung jersi Bayern pada 2007 sehingga 2011, memenangi dua kejuaraan domestik sebelum berhijrah ke Lazio, di mana dia menamatkan kariernya.

“Saya memandang ke depan untuk jawatan ini bersama akademi Bayern Munich,” kata Klose.

“Saya akan memberikan segala-galanya untuk membalas kepercayaan yang diberikan dan mengetuai perkembangan barisan pemain muda.”

Dalam masa sama, Bayern juga mengesahkan pemain berusia 17 tahun, Franck Evina, telah menandatangani kontrak profesional selama tiga tahun.

Evina memulakan dua perlawanan Bundesliga pada musim ini dan persembahannya telah meraih pujian pengarah sukan kelab, Hasan Salihamidzic.

“Evina adalah pemain yang pantas serta mempunyai kualiti yang diperlukan setiap atlet.

“Kami gembira dapat meraih khidmatnya untuk jangka masa panjang dan berhasrat mendapatkan perkembangan terbaiknya,” kata Salihamidzic.

“Satu penghormatan untuk meraih peluang ini di Bayern.

“Saya mahu terus mempelajari segalanya di sini selama beberapa tahun akan datang dan membalas kepercayaan pasukan dengan persembahan hebat,” tambah Evina.