Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, 100 peratus akan berusaha untuk menggilap bakat pemain yang mirip Trent Alexander-Arnold atau Andrew Robertson selain menaruh harapan tinggi buat "prospek sebenar", Neco Williams.

Kedua-dua pemain itu sekali lagi membekalkan bantuan gol buat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan dengan jumlah 10 kali buat musim kedua berturut-turut.

Berikutan wabak COVID-19 melanda Mac lalu sebelum kancah musim ini bersambung bulan lalu, mereka hanya mempunyai tempoh rehat singkat sebelum kempen EPL seterusnya bermula pada 12 September depan.

Klopp menganggap Robertson dan Alexander-Arnold telah beraksi dengan cemerlang di sebalik berdepan proses pemulihan yang singkat, Williams pula telah membuktikan bahawa dia boleh menjadi salah satu pilihan di bahagian benteng.

"Kami sentiasa memikirkan situasi sendiri dan kami sedar akan keperluan mencari jalan bagi menghadapi persiapan singkat musim depan tetapi begitulah keadaannya," katanya.

"Dengan adanya Neco Williams, kami sudah memiliki prospek dalam pasukan, sangat bagus untuk memiliki khidmatnya.

"Kami akan mempunyai jalan penyelesaian yang lain untuk masalah-masalah itu tetapi mencari pengganti seperti Trent dan Robbo adalah sukar, namun ia ada kemungkinan dan kami akan berusaha 100 peratus ke atas usaha itu."



Klopp juga bercakap mengenai cabaran membina skuad dan mengatakan adalah penting untuk tidak mempunyai terlalu ramai pemain meskipun sudah selesa di setiap posisi.

Kehilangan penjaga gol, Alisson, pada awal musim ini menjadi contoh tetapi pengurus berbangsa Jerman itu menganggap tiada pasukan yang mampu bersedia sepenuhnya jika kehilangan pemain akibat kecederaan.

"Jika bernasib malang, maka (kehilangan Alisson) merupakan nasib yang tidak baik pada hari itu -- kami mahu bersiap sedia untuk menghadapi situasi ini tetapi tidak mampu," katanya.

"Kecederaan sering menimpa pemain yang salah. Sekiranya kami fikir di posisi itu baik-baik sahaja dan menganggap kami mempunyai pilihan lain, ia akan melanda posisi yang berbeza pula di mana saya tidak mempunyai alternatif yang mencukupi jadi saya perlu bertindak kreatif.

"Oleh itu, kami membina skuad dan semua orang akan berasa khidmatnya diperlukan. Ini bermakna, kadang-kadang kami mungkin berdepan kesulitan dalam membuat pilihan 'A' tetapi kami akan tetap mempunyai jalan penyelesaian, kami harus akur dengan hakikat itu.

"Untuk kelab seperti kami ini, tidak mungkin kami mampu menempatkan seramai 20 pemain bertaraf dunia di bangku simpanan, kami harus beraksi bertaraf dunia dan ia boleh dicapai di sebalik kami mengetengahkan barisan pemain yang berbeza dan semua tonggak kami berpotensi menjadi pemain berkelas dunia -- tetapi kadangkala mereka tidak dapat beraksi dengan kerap untuk menonjolkannya.

"Pembentukan skuad adalah cukup sukar dan mencabar setiap tahun, tetapi jawapannya menjurus kepada jangan mempunyai terlalu ramai pemain daripada yang diperlukan.

"Rasanya hanya selesa sebentar tetapi kemudian sepanjang tahun anda akan menghadapi masalah yang berbeza.

"Itulah sebabnya adalah sukar untuk menentukan nombor atau alternatif yang tepat, tetapi itulah tugas yang harus dilakukan.

"Setakat ini kami telah melakukannya dengan baik, mudah-mudahan ia berterusan."