Jurgen Klopp mahu Liverpool diberikan tiga mata percuma jika perlawanan menentang Manchester United di Old Trafford pada awal pagi Selasa ini dibatalkan kerana protes daripada penyokong tuan rumah.

Kumpulan penyokong United, The 1985, merancang untuk melakukan protes terhadap "pemilikan keji" pasukan itu dan menunjukkan kepada keluarga Glazer bahawa "kali ini ia tidak akan digagalkan".

Protes peyokong juga pernah berlaku ketika kedua-dua kelab itu sepatutnya bertemu pada Mei 2021, di mana penyokong United menceroboh stadium dan padang walaupun perlawanan itu sepatutnya berlangsung secara tertutup berikutan protokol Covid-19 sehingga ia terpaksa ditunda dan Liverpool memenangi 4-2 dalam perlawanan seminggu setengah kemudian.

Ditanya dalam sidang media bagaimana jika protes itu benar-benar berlaku, Klopp berkata: "Kami akan naik semula bas dan pulang ke rumah.

"Saya benar-benar berharap ia tidak akan berlaku tetapi jika benar ia berlaku, kami sepatutnya mendapatkan mata percuma.

"Kami tidak terlibat dengan situasi itu. Jika peminat mereka tidak mahu perlawanan itu berlangsung, kita tidak boleh hanya menjadualkan semula pertemuan itu dan meletakannya di mana-mana dalam satu kalendar yang padat.

"Saya tidak fikir dan benar-benar berharap agar ia tidak berlaku. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, saya tidak memikirkannya.

"Harap-harap kami semua baik-baik sahaja, dapat ke sana, bermain untuk perlawanan itu dan pulang.

"Tetapi jika, dan saya fikir kebiasannya dalam situasi seperti ini, pasukan lawan sepatutnya mendapatkan mata percuma kerana mereka tidak terlibat. Mereka telah melakukan persediaan," katanya.