Jurgen Klopp berkata kekalahan Liverpool di Nottingham Forest tidak dapat dijelaskan kerana dia mengecam sentuhan penyudah yang dilakukan oleh pemainnya di City Ground.

Selepas kemenangan berturut-turut 1-0 ke atas Manchester City dan West Ham dalam Liga Perdana Inggeris (English Premier League), Liverpool turun dengan jaringan yang sama semalam, dengan bekas pemain simpanan Anfield, Taiwo Awoniyi mendapatkan gol tunggal.

Klopp menuding jari menyalahkan Roberto Firmino dan Virgil van Dijk kerana melepaskan peluang terhidang, ketika kelab Merseyside itu tewas kepada pasukan yang berada di kedudukan tercorot liga.

Kekalahan ketiga dalam aksi liga dalam 11 perlawanan pembukaan mereka adalah satu kejutan bagi pasukan Liverpool yang telah berusaha untuk merapatkan jurang awal musim ke empat teratas.

"Persembahan yang saya boleh jelaskan, keputusannya tidak," kata Klopp kepada BT Sport. “Saya tidak pernah melihat perlawanan di mana satu pasukan mempunyai empat atau lima percubaan menerusi sepakan percuma, di mana kami perlu menjaringkan gol.

"Cara mereka bertahan, kami sangat bersedia. Kami sentiasa mempunyai pemain bebas: Bobby pada separuh masa pertama, Virgil dua atau tiga kali -- mereka perlu memastikan perlawanan memihak Liverpool."

Gol Forest juga datang daripada sepakan percuma, dengan Awoniyi merembat masuk dari jarak dekat, yang disifatkan sebagai 'satu kesilapan besar' oleh Klopp.

“Selain itu, semua peluang yang mereka ada kami berikan kepada mereka, kerana kami terus melakukan hantaran yang salah di bahagian tengah,” katanya.

"Kami sepatutnya menunjukkan konsistensi hari ini. Daripada segi keputusan, kami sepatutnya berpeluang untuk memastikan kemenangan."