Kuala Lumpur City FC memperoleh kemenangan pertama musim ini selepas menewaskan Melaka United 2-0 di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.

Dua gol daripada ketua pasukan, Paulo Josue, dalam babak pertama sudah cukup untuk memastikan KL City menewaskan skuad tempang Melaka -- yang turun beraksi tanpa tiga tonggak import.

Tuan rumah berada di depan seawal minit ketiga selepas Josue memanfaatkan kelalaian barisan pertahanan Melaka untuk melepaskan rembatan ke penjuru kanan atas gawang Norazlan Razali.

Josue kemudian menggandakan kelebihan itu pada minit ke-29, kali ini menerusi penyudah jarak dekat dari dalam kawasan penalti.

Sementara itu, aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula menyaksikan Sri Pahang FC kempunan untuk meraih kemenangan pertama selepas diikat 1-1 oleh Petaling Jaya City pada minit-minit terakhir.

Tok Gajah mendahului sejak minit ke-38 hasil jaringan Manuel Hidalgo tetapi mereka berputih mata apabila pengadil membenarkan jaringan penyamaan R. Barathkumar biarpun pada awalnya gol berkenaan dibatalkan kerana ada pemain PJ City berada di kedudukan ofsaid.

Aksi di Stadium Bandaraya pula penyaksikan Penang FC dan Negeri Sembilan FC terikat 1-1, di mana Zaquan Adha (Negeri Sembilan) dan Hilal El Helwe (Penang) menyempurnakan sepakan penalti buat pasukan masing-masing.



*Kredit foto: KL City FC