Pemain import, Tchetche Kipre, menyedari kedatangannya di bandar metropolitan Kuala Lumpur membawa kelegaan buat naib juara Piala AFC itu -- ianya berikutan rekod jaringan luar biasa yang dimilikinya di sepanjang enam musim lalu.

Penyerang berusia 35 tahun itu berkongsi liku-liku cabaran yang terpaksa ditempuhi menjelang aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan bertemu Perak FC malam ini -- difahamkan Kipre bergelut untuk mengadaptasi corak permainan yang berbeza di bawah kendalian Bojan Hodak.

Umum mengetahui, KL City mengharungi musim lalu tanpa penyerang tulen -- atas faktor itu, kudrat Kipre ditagih skuad The City Boys -- bermula dengan pertemuan ke atas Perak FC.

Pada ketika penyerang yang menjaringkan 13 gol Liga Super musim lalu itu mahu membalas kepercayaan pengurusan tertinggi KL City mendapatkan khidmatnya -- realiti sebenar dirinya harus menyesuaikan diri secepat mungkin.

"Sebagai penyerang, anda perlu menjaringkan gol dan saya perlu memahami corak permainan KL City terlebih dahulu. Cuba untuk menyesuaikan diri dengan gerakan permainan pasukan ini sebelum mendapatkan jaringan," katanya.

"Saya mahu cuba menikmati permainan bersama pasukan dan berharap segalanya akan memihak pasukan ini."

Masa semakin suntuk, keadaan tidak memihak jentera serangan KL City selepas mengharungi dua perlawanan tanpa sebarang jaringan -- namun penyerang kelahiran Ivory Coast itu menjanjikan gandingan mantap bersama Herlison Caion pada percubaan ketiga di pramusim.

Di atas kertas, {erak dilihat lawan paling mudah KL City selepas bertemu Terengganu serta Kelantan United sebelum ini -- namun Kipre menegaskan kepentingan pertemuan ini dari perspektif ayam tambatan terbaru warga kota.

"Untuk bermula baik, pasukan memerlukan pramusim yang baik. Apa yang telah dipamerkan pasukan agak baik dan berdepan Perak kami mahu memastikan keputusan yang positif buat KL City."