THAILAND 1 MALAYSIA 1
(Malaysia mara ke final menerusi sepakan penalti 5-3)


Ketangkasan Syihan Hazmi Mohamed di pintu membawa Harimau Malaya ke perlawanan akhir Kejohanan King's Cup sejak 1978 bagi mengatur pertemuan dengan pasukan di tangga ke-109 dunia, Tajikistan, Ahad ini.

Kemenangan Malaysia hadir menerusi penentuan sepakan penalti dengan tuan rumah, Thailand, apabila penjaga gawang Negeri Sembilan itu merebahkan badan ke sebelah kanan untuk menghalang tendangan Supachok Sarachat sebelum Corbin-Ong Lave're menyempurnakan tendangan kelima.

Kesungguhan pemain untuk mengikut percaturan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon, bermula seawal minit pertama lagi.

Malah, skuad Gajah Perang menerima tamparan awal apabila bintang utama di bahagian serangan, Chanathip Songkrasin, meminta dikeluarkan berikutan kecederaan yang ditanggungnya.




Situasi itu memberi peluang kepada pasukan negara untuk menguasai perlawanan, seterusnya merobek gawang lawan apabila tampanan kaki kidal Corbin-Ong menterjemahkan lambungan rakannya di peringkat kelab, Safawi Rasid.

Malaysia selaku juara empat kali meneruskan tempo hampir sama dalam separuh masa kedua biarpun mengambil sedikit masa untuk mengimbangi penguasaan Thailand.

Di sebalik Darren Lok hampir meledak gol lagi, pemain muda Thailand, Suphanat Mueanta, dua kali melepasi perangkap ofsaid yang dipimpin Dion Cools hingga memaksa kecemerlangan Syihan Hazmi.

Pan-gon kemudian menukar trio serangan tetapi insiden kekasaran telah mengundang kad amaran buat pemain kedua-dua pasukan sebelum kerancakan permainan kembali normal.

Namun, kad kuning kedua yang dilayangkan kepada pemain tengah negara, Nor Azam Azih, dalam masa kecederaan memberi kesempatan kepada Thailand untuk mengikat kedudukan dengan tandukan Pansa Hemviboon, seterusnya memaksa perlawanan untuk ditentukan terus dengan sepakan penalti.

Sementara itu, Tajikistan memadam kelebihan awal Trinidad and Tobago untuk menang 2-1.