Joshua Kimmich memuji ketajaman yang ditunjukkan penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, selepas membantu juara bertahan Bundesliga itu menewaskan Paderborn 3-2 semalam tetapi mengkritik persembahan keseluruhan pasukannya.

Lewandowski mencatat jaringan ke-10 liga musim ini tatkala mereka memintas RB Leipzig yang tewas 3-1 di Schalke untuk menduduki tangga teratas Bundesliga.

Jaringan awal pagi tadi membolehkan penggempur Poland itu mencipta rekod gol terbanyak dalam enam perlawanan awal Bundesliga, mengatasi rekod yang dipegang oleh Jupp Heynckes, Gerd Muller, Peter Meyer dan Lothar Emmerich.

Pemain berusia 31 tahun itu juga menjaringkan gol dalam lapan perlawanan berturut-turut untuk Bayern meskipun dia gagal menampilkan ketajaman dalam babak pertama apabila melepaskan peluang jaringan terbuka.

"Ia adalah satu catatan kutipan gol yang hebat. Jumlah 10 gol sangat menarik," kata Kimmich.

"Namun, kami membiarkan lawan bangkit dalam perlawanan dan menjadikan ia sukar buat kami.

"Dalam babak pertama, aksi lebih terbuka tetapi kami meraih banyak peluang. Kami patut mendahului dua atau tiga gol sebelum rehat.

"Kami menggandakan kelebihan dalam babak kedua tetapi ia patut tamat lebih awal.

"Secara keseluruhan, kami gagal meraih dominasi yang kami mahukan dan tidak menjalankan tugas dengan baik."

Serge Gnabry -- yang menjaringkan gol pembukaan buat Bayern selaku pelawat sebelum membantu Philippe Coutinho menambah jaringan kedua -- berasa lega mereka tidak dihukum kerana melepaskan peluang.

Bekas pemain Arsenal itu menggesa pasukannya memperbaiki prestasi menjelang pertemuan dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami tidak beraksi cemerlang. Kami meraih banyak peluang selepas gol pembukaan dan patut menggandakan kelebihan lebih awal," katanya.

"Dalam babak kedua, kami meraih banyak peluang untuk menamatkan aksi lebih awal. Kami kurang keinginan di depan gawang.

"Aksi menentang Spurs akan berbeza. Kami perlu meningkatkan prestasi tetapi saya fikir kami akan menampilkan persembahan cemerlang dan mengekalkan rentak."