Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, tidak rela pasukannya keciciran mata lagi ketika berdepan Perak FC, malam esok.

Kim Swee menggesa barisannya Sang Badak agar tidak mengulangi kesilapan ketika membenarkan Terengganu FC mengikat kedudukan 2-2 dalam perlawanan di Likas, Jumaat lalu.

Apa yang pasti, tuan rumah bakal turun dengan skuad terbaik bagi melayani kunjungan Sang Seladang susulan kembalinya tonggak pertahanan berpengalaman, Rizal Ghazali, daripada penggantungan kad kuning di samping Kwang-min Ko yang bebas sepenuhnya daripada kecederaan betis.

"Berita baiknya ialah Kwang-min Ko sudah boleh pulih sepenuhnya sementara Rizal Ghazali akan kembali daripada penggantungan.

"Saya menunggu tempoh dua hari ini untuk memastikan semua pemain dalam keadaan yang baik.




"Ketika bertemu Terengganu, mereka tewas sebelum itu tetapi menunjukkan kebangkitan jadi kami tidak boleh lalai lagi.

"Walaupun Perak tidak berada dalam situasi yang tidak begitu baik tapi kami perlu kekal dengan hajat kami.

"Katidak boleh kehilangan mata lagi kerana kedudukan kami telah turun ke tangga kelima.

"Saya percaya pemain faham situasi kami dan saya mahu pasti kami tidak lagi kehilangan mata," katanya dalam persiapan terakhir di Stadium Likas hari ini.