Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon, mengotakan janjinya untuk terus memartabatkan imej bola sepak apabila ranking dunia Harimau Malaya dijangka melonjak kepada kedudukan terbaik sejak 12 tahun lalu menerusi kemas kini rasmi terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada minggu hadapan.

Barisan bimbingannya menang kedua-dua ujian membabitkan Turkmenistan termasuk Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada malam tadi.

Namun, Pan-gon tidak rela cepat berpuas hati sambil menggesa anak buahnya terus memperkemaskan permainan mereka dari masa ke semasa.

"Kami masih ada ruang untuk ditingkatkan, inilah kenyataannya walaupun kami sudah mencapai tahap tertentu.

"Saya gembira kami dapat meneruskan rentak kemenangan, kami telah menghadapi 14 perlawanan di tempat sendiri dan hanya tumpas sekali iaitu kepada Bahrain.

"Malam ini kami cuba buktikan bahawa gelanggang sendiri merupakan kubu kuat buat kami.

"Kami mahu mencabar Piala Asia dan Piala Dunia, sebab itu kami harus berpuas hati tapi saya mahu mendorong pasukan dan pemain saya lebih jauh," katanya.



Tunjang utama kemenangan kedua-dua perlawanan persahabatan itu, Akhyar Rashid, kekal merendah diri mengenai impak prestasinya dan terus berazam menjadikan skuad negara sebagai padang permainannya susulan gagal menembusi kesebelasan utama bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Saya berpuas hati sangat sebab dapat menghasilkan dua gol dalam dua perlawanan ini, (sudah tentu) saya akan berikan yang lebih baik dalam perlawanan akan seterusnya.

"Tapi saya tidak rasa telah bermain dengan sangat baik dalam dua perlawanan ini tapi saya cuba sehabis baik.

"Terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memberi sokongan, saya hanya berikan 100 peratus dalam perlawanan.

"Saya jaga aspek makan minum, jadi saya kurang cergas disebabkan kekurangan minit permainan.

"Tapi saya cuba buat apa yang bagus untuk latihan termasuk jaga makan minum," katanya.