Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, menganggap barisan pemainnya telah mempamerkan aksi yang disifatkannya sebagai 'harimau sebenar' ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan E, pusingan terakhir kelayakan Piala Asia 2023 (2023 Asian Cup qualification) di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Ia juga merupakan kali ketiga skuad bimbingan Pan-gon itu menewaskan pasukan di kedudukan ranking lebih tinggi selepas membenam Hong-Kong dan Filipina sebelum ini.

Dalam perlawanan terbaru itu, Harimau Malaya mempamerkan aksi berkeamatan tinggi sejak awal permainan dan berhasil berada di depan menerusi penyudah Safawi Rasid pada minit ke-11 sebelum Faisal Halim menggandakan kelebihan itu berselang empat minit.

Kesilapan Shahrul Saad membolehkan Altymyrat Annadurdyyew merapatkan jurang buat Turkmenistan tetapi Corbin Ong kembali meletakkan Malaysia berkelebihan dua jaringan menerusi larian solo gemilangnya dari bawah dalam waktu kecederaan babak pertama.

Meskipun tiada sebarang pertambahan jaringan dalam babak kedua, Pan-gon gembira dengan perwatakan yang ditampilkan pemainnya, di mana mereka kelihatan bersemangat dan bernafsu untuk memburu jaringan.

"Hari ini, saya dapat lihat pemain bernafsu seperti harimau sebenar," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Saya tidak dapat menjelaskannya daripada segi taktikal tetapi saya dapat melihat semangat mereka ketika bermain malam ini."

Malaysia seterusnya akan meneruskan saingan dengan menentang Bahrain di venue sama pada Sabtu ini.