Selangor FC tidak main-main untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan apabila mengumumkan tonggak pertahanan Harimau Malaya, Ahmad Khuzaimi Piee, sebagai pemain baru mereka hari ini.

Perkara itu diumumkan Selangor FC menerusi laman Facebook rasmi mereka, yang turut memuat naik video aksi Khuzaimi bersama pasukan lamanya dan skuad negara.

"Selamat datang ke Selangor FC Khuzaimi," tulis Selangor FC di laman berkenaan.

Pemain berusia 29 tahun itu merupakan bekas pertahanan Negeri Sembilan FC, yang menjadi tonggak penting membantu pasukan berkenaan berada dalam kelompok empat terbaik Liga Super dan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim lalu.

Pemain kelahiran Melaka itu telah tampil sebanyak 23 kali bersama Negeri Sembilan musim lalu selain pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Melaka United dan UiTM FC sepanjang kariernya.

Kehadiran Ahmad Khuzaimi ke Selangor FC, sekali gus memantapkan benteng pertahanan skuad Gergasi Merah itu selepas turut mengumumkan kehadiran bekas pertahanan kiri Petaling Jaya City FC, V. Ruventhiran, pada Ahad lalu.


Kredit: Sinar Harian