Pertahanan negara, Khuzaimi Piee, menganggap perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini sebagai ujian sebenar meskipun meraih kemenangan 4-0 ke atas Brunei, Jumaat lalu.

Tambahnya, setiap pemain perlu bersedia untuk diturunkan kerana kesebelasan utama hanya akan diketahui di dalam bilik persalinan pada hari perlawanan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, dia berkata: "Kami tidak tahu mengenai kesebelasan utama kerana ia hanya akan dimaklumkan oleh jurulatih Kim (Pan-gon) pada hari perlawanan.

"Jadi, apa yang kami semua boleh lakukan adalah sentiasa bersedia kerana kami tahu, jurulatih percaya dengan semua pemain yang sedia ada sekarang ini.

"Sesiapa sahaja yang akan bermain, kami akan memberikan yang terbaik.

"Setiap kesilapan yang kami lakukan, kami perlu memperbaikinya kerana dalam pusingan kelayakan Piala Asia (di Bukit Jalil bermula 8 Jun ini), setiap kesilapan akan membawa padah.

"Jadi kami perlu memperbaiki segala kesilapan kami dalam perlawanan yang akan datang," katanya.

Mengenai perlawanan pemanas badan menentang Hong Kong, pertahanan berusia 26 tahun itu menambah: "Mungkin ia akan menjadi situasi yang sukar buat kami.

"Insya-Allah, kami akan memberikan yang terbaik kerana perlawanan itu mungkin akan memberikan kami informasi untuk memperbaki kesilapan-kesilapan yang dilakukan agar dapat dielakkan dalam pusingan kelayakan nanti."

Malaysia akan memulakan aksi Kumpulan E, pusingan kelayakan Piala Asia dengan menentang Turkmenistan sebelum bertemu Bahrain dan Bangladesh dalam perlawanan berikutnya.