Pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan kumpulan pertama pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) selepas hampir semuanya menyertai Selangor demi permulaan karier profesional masing-masing.

Semalam, Nadi Arena melaporkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melakukan pendekatan agresif apabila memborong 28 pemain daripada kumpulan pertama pelatih AMD.

Mereka ditempatkan dalam skuad Selangor II, antaranya penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; pemain tengah, Harith Haiqal Adam Afkar dan pertahanan, Hariz Mansor.

Ketika Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner, menganggap penyertaan beramai-ramai pemain akademi itu ke Selangor adalah satu langkah positif, Richard pula berasakan sebaliknya.

"Kalau guna khidmat pemain-pemain ini, (pastikan) turunkan mereka.

"Kalau tidak boleh diturunkan selama 90 minit, setidak-tidaknya 45 minit agar pemerhati skuad remaja kebangsaan dapat melihat mereka beraksi," katanya.

Berada dalam Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP), Richard menegaskan keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menetapkan tanda harga kepada pemain AMD adalah wajar.

"(Kaedah) ini diguna pakai di Eropah dan Timur Tengah.

"Pendekatan sedemikian didedahkan kepada pemain-pemain muda ini supaya mereka di landasan yang betul sebaik mereka menamatkan pengajian di AMD selepas lima tahun," tambahnya.

Walaupun sibuk dengan tugasan bersama program berkenaan, Richard tetap meluangkan masa bagi meraikan sambutan Hari Natal bersama keluarga di Klang hari ini.