Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mula merangka perancangan berkenaan garis panduan buat sukan hoki dengan harapan mereka dapat memulakan semula latihan seawal minggu depan.

Dalam sidang media harian semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kebenaran untuk beberapa sukan berkumpulan, termasuk hoki, kembali menjalani latihan tanpa sebarang bentuk pertandingan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Skuad hoki negara antara yang menyambut baik keputusan itu memandangkan mereka perlu merangka persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November depan.

Bagaimanapun, badan induk itu masih menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan garis panduan yang perlu dipatuhi ketika sesi latihan.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr. S. Shamala, berkata: "Saya rasa kami memerlukan dua atau tiga hari untuk memanggil semula pemain.

"Kemudian, kami perlu menyemak dengan MSN berkenaan penginapan dan sebagainya.

"Selepas itu kami perlu berbincang dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk melihat bagaimana pemain akan memulakan latihan.

"Jika diberikan kebenaran, minggu depan merupakan waktu terbaik untuk kami memulakan latihan.

"Jika memulakan kembali latihan, kami akan memastikan jarak sosial yang selamat dan memerlukan modifikasi dalam sesi latihan kami seperti hanya sembilan pemain di atas padang," tambahnya.