Penjaga gol negara, Khairulazhan Khalid tekad untuk mencabar tempat dalam skuad Harimau Malaya yang sedang menjalani tempoh persiapan bagi saingan kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini.

Khairulazhan bakal bersaing dengan tiga penjaga gol lain iaitu Farizal Marlias, Ahmad Syihan Hazmi yang mempamerkan aksi memberangsangkan ketika saingan liga berlangsung dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Khairulazhan juga sedar tekanan makin hebat daripada peminat sukan tanah air khasnya selepas skuad B23 hanya mampu meraih tempat keempat ketika Sukan SEA Vietnam.

"Setiap penjaga gol memiliki kelebihan masing-masing, saya akan cuba melakukan terbaik dan berusaha untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama, namun segalanya terletak di tangan jurulatih untuk melakukan pemilihan," katanya.