Barcelona mengesahkan bahawa mereka telah menandatangani Franck Kessie secara perpindahan percuma selepas pemain itu menamatkan tempohnya bersama AC Milan.

Pemain tengah itu bersetuju untuk mengikat kesepakatan selama empat tahun bersama Blaugrana, yang diumumkan secara rasmi semalam selepas berbulan berspekulasi.

Kessie menghabiskan lima musim di San Siro, di mana dua daripadanya secara pinjaman, dan berhasil membantu Milan menamatkan penantian 11 tahun untuk menjulang Scudetto pada musim terakhirnya.

Sepanjang musim lalu, dia beraksi sebanyak 31 daripada keseluruhan 38 perlawanan Serie A dan menjaringkan enam gol selaku pemain tengah Milan -- hanya Zalatan Ibrahimovic (lapan), Rafael Leao dan Olivier Giroud (11) pernah memiliki rekod lebih baik.

Bagaimanapun, tiada kesepakatan baru di antara pemain itu dan Rossoneri dan ia bermakna, tonggak kebangsaan Ivory Coast berkenaan telah menjadi pemain ejen bebas sejak 1 Julai lalu.

Barca sebelum ini dilihat pasukan pilihan untuk mendatangkan pemain berusia 25 tahun itu sebelum sah mengikat kesepakatan baru di Camp Nou, yang turut memiliki klausa pelepasan bernilai €500 juta (RM2.3 bilion).