Kesan asid yang disimbah kepada tonggak utama Harimau Malaya, Faisal Halim, bukan untuk membunuhnya sebaliknya menyeksa mental dan fizikal pemain berusia 26 tahun itu.

Faisal mengalami kelecuran tahap empat susulan disimbah asid oleh dua individu yang tidak dikenali di sebuah pusat beli belah sekitar Petaling Jaya, Ahad lalu.

Motif pelaku masih dalam siasatan, tetapi jelas dengan niat untuk menyeksa Faisal dengan cara merosakkan anggota tubuhnya.

Pelaku menggunakan asid jenis sulfurik pekat mengakibatkan beberapa anggota badan Faisal termasuk mukanya turut melecur.

Kebiasaannya kesan jangka panjang serangan antaranya trauma, keresahan, kemurungan, gangguan stres pascatrauma (PTSD), kecacatan fizikal, ketakutan untuk bersosial, rasa rendah diri, trauma dikhianati dan paling teruk ialah risiko bunuh diri.

Susulan dari tragedi hitam itu, Faisal berkemungkinan mengalami trauma dan kemurungan berikutan fikirannya mudah terganggu dan terpaksa melupakan karier buat seketika.

Jika keadaan kembali normal, kehilangan perwatakan Faisal yang mesra mungkin berlaku kerana trauma untuk bersosial dan berjumpa orang ramai.

"Serangan asid tidak bertujuan untuk membunuh malah untuk mencacatkan, mencederakan atau menyeksa mangsa, menyebabkan kecederaan teruk dan kerosakan fizikal dan psikologi yang berpanjangan, menimbulkan penghinaan dan meninggalkan parut." mangsa.