Bologna mengesahkan pengurus, Roberto Donadoni, telah meninggalkan pasukan.

Pengendali berusia 54 tahun yang dilantik pada 2015 itu sekadar menyaksikan pasukan bimbingannya mengutip satu mata dalam enam aksi terakhir saingan Serie A.

Presiden, Joey Saputo, berterima kasih kepada Donadoni di atas usahanya buat kelab, menamatkan saingan 2017/18 di tangga ke-15 liga.

“Saya menganggap Donadoni telah menjadi pengendali yang baik,” katanya.

“Dia telah memberikan pasukan kredibiliti yang sangat penting.

“Bagaimanapun, selepas tiga tahun khidmatnya di Bologna, kami berasa ia telah tamat walaupun Donadoni tidak pernah mengabaikan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan bersama staf pasukan.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya untuk kariernya di masa akan datang.”

Donadoni sebelum ini pernah mengendalikan beberapa pasukan Serie A yang lain seperti Genoa, Napoli dan Parma, di samping membimbing skuad kebangsaan Itali melangkah ke suku akhir Piala Eropah 2008.