Kepa Arrizabalaga berkata dia akan berbincang dengan Thomas Tuchel tentang masa depannya di Chelsea sambil memberikan mesej yang jelas bahawa dia mahu beraksi dalam lebih banyak perlawanan.

Chelsea memecahkan rekod dunia pembelian penjaga gol termahal ketika menandatangani Kepa dengan tanda harga £71.6 juta (RM386.56 juta) berserta kontrak tujuh tahun pada 2018 bagi menggantikan Thibaut Courtois.

Dua tahun kemudian, Edouard Mendy tiba di Stamford Bridge dengan kontrak selama lima tahun daripada Rennes untuk memberikan saingan kepada Kepa, yang beraksi dalam 30 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) semusim sepanjang dua tahun pertamanya.

Mendy kemudian menjadi penjaga gol pilihan utama Tuchel dan Kepa hanya dapat beraksi dalam tujuh perlawanan EPL musim 2020-21 dan hanya empat dalam musim berikutnya.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu hanya dimanfaatkan dalam saingan Piala buat Chelsea, di mana dia gagal menyudahkan sepakan penalti ketika The Blues tewas kepada Liverpool dalam final Piala Liga Inggeris (EFL) -- selepas dibawa masuk dalam waktu kecederaan bagi penentuan berkenaan.

Kepa jelas tidak selesa diletakkan sebagai pilihan kedua dan memberitahu Marca bahawa dia akan mengadakan perbincangan dengan Tuchel mengenai masa depannya.



"Saya amat teruja, bercita-cita dan berkeinginan tinggi untuk memulakannya, menikmati diri dan apa yang paling penting, saya mahu lebih banyak bermain. Saya mahu lebih banyak berada di atas padang.

"Perbincangan dengannya (Tuchel) amat mudah, dia amat mudah untuk ditemui pemain. Secara peribadi, saya perasan minat dan keyakinannya terhadap saya.

"Amat jelas, saya mahu bermain lebih banyak. Benar dia memberikan lebih peluang buat rakan sepasukan saya (Mendy) dan perkara itulah yang saya cuba ubah setiap hari, saya mahu bermain dan kerana itulah saya berlatih dan bersedia setiap hari.

"Buat masa ini, saya masih pemain Chelsea tetapi apa yang saya tahu adalah saya mahu lebih banyak bermain kerana selepas satu atau dua tahun beraksi, saya akan menjadi lebih baik.

"Saya tidak terdesak. Pada akhirnhya, saya berada di kelab yang amat besar... Saya akan berbincang dengan jurulatih dan kami akan menentukannya tetapi mesejnya jelas, saya mahu bermain," katanya.