Berhadapan Everton di Goodison Park merupakan perlawanan yang begitu penting buat Manchester United untuk mencari kemenangan sekiranya ingin meletakkan pasukan The Reds Devils itu berada pada kelompok empat teratas untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah pada musim hadapan. Jika tidak berjaya memperolehi kemenangan ketika berhadapan The Toffees kemungkinan agak sukar kepada anak didik Ralf Rangnick untuk menempatkan satu slot kerana perlawanan Liga Perdana Inggeris hanya berbaki enam perlawanan untuk The Red Devils lalui.

Dalam keadaan itu juga Man United akan bersaing dengan tiga pasukan lagi untuk menempah satu slot ke Liga Juara-juara Eropah iaitu Tottenham Hotspur, Arsenal dan West Ham United kerana tiga pasukan itu ketika ini berada di atas The Red Devils. Bukan satu tugas mudah untuk mencipta kemenangan di Goodison Park walaupun rekod pertemuan memihak pada Man United berbanding Everton. Ini kerana The Blues berada pada kedudukan yang membolehkan pasukan di bawah pengurusan Frank Lampard itu terkeluar dari saingan Liga Perdana musim depan.

Kekuatan bahagian pertahanan akan menjadi penentu bagi kedua-dua pasukan itu pada perlawanan nanti kerana kedua-dua pasukan itu mempunyai masalah yang ketara apabila di lihat dari jumlah jaringan yang menembusi pintu gol mereka pada lima perlawanan terakhir. Sekiranya bahagian ini tidak dapat diperbaiki dengan segera terutama kepada anak didik Rangnick ia akan mengundang pada kiritikan dan akan menyukarkan misi kemenangan Man United.

Bukan sahaja untuk memastikan bahagian pertahanan memainkan peranan tetapi bahagian serangan juga perlu memainkan tanggungjawabnya untuk bertahan supaya pihak lawan tidak berjaya melakukan serangan balas yang boleh mengundang jaringan. Jika kerjasama berpasukan dapat dilakukan tanpa melakukan kesilapan ia pasti akan memberi kelebihan pada The Red Devils untuk mencipta kemenangan di tempat lawan memandangkan bahagian serangannya mempunyai penyudah yang baik.