Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengendali liga dikhabarkan akan menstrukturkan semula semua pertandingan tempatan, termasuk peringkat umur dalam cubaan untuk menawarkan satu pakej menarik kepada bakal pelabur.

Media sosial kecoh dengan pendedahan sebuah portal yang melaporkan bahawa Liga Super akan dipertandingkan oleh 18 pasukan, sementara Liga Perdana ditangguh beberapa musim. Turut dicadangkan ialah kewujudan semula Liga Simpanan dan sebuah liga untuk pemain B-17 yang disertai pasukan-pasukan yang juga rakan kongsi MFL.

Jika dilihat struktur yang sedia ada, Liga Super adalah kemuncak saingan domestik, diikuti Liga Perdana dan Liga M3 iaitu sebuah pertandingan semi-pro, Piala Presiden untuk B-21 dan Piala Belia bagi B-19. Di pertengahan saingan liga ini, ada Piala Malaysia dan Piala FA.

Hakikatnya, pertandingan sedia ada dianjurkan oleh tiga entiti berbeza – MFL yang memerlukan penjanaan pendapatan dari segi komersial untuk menghidupkan liga, badan induk FAM yang bertanggungjawab terhadap pembangunan serta tadbir urus bola sepak tempatan dan pembentukan semua pasukan kebangsaan, serta Amateur Football League (AFL) yang baru diwujudkan bagi mengendalikan saingan semi-pro.

Tiga organisasi ini ada tiga visi berbeza tetapi seandainya mereka sehati sejiwa, penulis percaya mereka boleh mewujudkan sebuah struktur yang menyokong kewujudan pasukan kebangsaan yang berwibawa, dari usia Bawah 14 tahun hingga ke peringkat senior.

Isunya ada dua -– perlu atau tidak Liga Perdana ditangguh sementara dan apakah Liga Simpanan dapat menyediakan ruang untuk pemain B-23 melakukan transisi ke peringkat senior?






Penulis memulakan kerjaya di penghujung era semi-pro pada 1993, semusim sebelum Liga-M diangkat status sebagai liga profesional. Pada 1994, FAM mempertandingkan Liga Perdana sebagai satu divisyen, Liga Simpanan untuk B-21 dan Liga FAM, selain saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Disebabkan ada kuota pemain yang didaftarkan dalam Liga Perdana untuk bermain dalam Liga Simpanan, penulis diberi peluang beraksi dalam liga khas untuk B-21 itu yang disertai oleh 14 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Dua pasukan teratas mara ke separuh akhir.

Kemuncak saingan itu ialah final Piala Presiden.

Di bawah kendalian Ahmad Hassan dan Sattar Khan, penulis diberi peluang menimba ilmu dalam liga yang kompetitif pada usia 19 tahun apabila menemani Azmil Azali, Jasmi Mohamad dan Nazri Yunos, bersaing dengan pemain seperti Allahyarham Shadan Zahari (Pahang), Azlisham Ebrahim, Asmawi Bakiri dan Talib Sulaiman (Selangor), Ahmad Shahrul Azhar Sofian (Perak), Ooi Hoe Guan, Domi Che Non dan Zambil Ahmad (Kedah).

Musim sulung Liga Simpanan, Selangor muncul juara menewaskan Sabah pada final Piala Presiden bagi mengaut hadiah wang kemenangan bernilai RM75,000.

Mereka yang menonjol dalam Liga Simpanan diserapkan dalam Liga Perdana.

Liga amatur yang diberi nama Liga FAM disertai pasukan seperti Intel Pulau Pinang, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKPS), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ), Maybank, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Pemain import dibenarkan pada saingan ini.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir untuk saingan kemuncak iaitu Piala FAM akan diberi ruang menyertai Piala FA pada musim berikutnya.

Bagi penulis, tidak kira apa struktur pertandingan tempatan, ia harus mengimbangi tuntutan komersial yang dijana oleh MFL dengan kehendak mewujudkan pasukan kebangsaan yang berwibawa.

Selain memperkasakan pertandingan di peringkat remaja, FAM dan MFL harus melihat keberkesanan saingan Liga KPM, serta kerjasama dengan NFDP dalam mewujudkan liga kompetitif pada peringkat paling asas iaitu Liga Akademi Tunas, Liga Pusat Latihan Daerah dan Liga Negeri dan berkesudahan dengan Piala Presiden sebagai kemuncai saingan belia.

Yang penting, seorang pemain yang melalui proses pembangunan perlu didedahkan dengan pertandingan kompetitif sekerap mungkin.





Penulis dahulu bertuah diberi peluang bermain dalam saingan B-12 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD), Piala Akhbar Dalam Darjah (ADD) antara negeri anjuran Berita Harian, Piala Nike B-14 antara negeri, Piala Razak B-18 anjuran FAM serta mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (Sukma) 1992 ketika masih belajar di tingkatan 5.

Pada 1993, penulis didaftarkan dalam skuad Piala Presiden Johor tetapi diberi peluang belajar dalam skuad senior sebelum didaftar sebagai pemain senior pada 1994 tetapi tetap diberi minit permainan dalam Liga Simpanan.

Penulis juga beranggapan Liga Super disertai oleh 18 pasukan akan menambah jumlah permainan yang diperlukan untuk sesebuah pasukan serta mewujudkan kestabilan komersial dan pembangunan pertandingan lebih kompetitif.

Namun, keputusan dalam Piala FA menimbulkan tanda tanya sama ada pasukan Liga M3 boleh merapatkan jurang sehingga layak ke Liga Super pada tahun mendatang?

Penulis berasa semua cadangan MFL harus diperhalusi oleh pemikir pengurusan dan pakar-pakar teknikal agar bola sepak Malaysia tidak terperangkap dalam peribahasa yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.