Bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali, percaya kehadiran Paulo Josue dan Endrick dos Santos dapat memberikan impak berbeza buat skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu enggan memberikan sebarang tekanan buat kedua-dua penyerang itu dalam membuktikan kemampuan mereka menjelang aksi persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Turkmenistan, Khamis ini.

Kedua-dua pemain itu dipilih ketua jurulatih, Kim Pan-gon, untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bersama 25 pemain lain di Johor ketika ini.

Safee, yang mengumumkan persaraannya sebagai pemain profesional minggu lalu, berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Saya tidak boleh meletakkan harapan yang mungkin akan membebankan dua pemain ini.

"Bagi saya, biarlah mereka menikmati waktu mereka bersama dalam skuad kebangsaan dan merealisasikan apa yang jurulatih mahukan.

"Apabila mereka sudah beraksi, kita dapat menilai sendiri daripada itu.

"Melihat kepada prestasi semasa mereka, ia sangat memberangsangkan kerana mereka dapat menjaringkan banyak gol.

"Dengan keadaan mereka yang sedang berada dalam motivasi terbaik, ia sudah pastinya dapat membantu pasukan kebangsaan daripada segi serangan dan agak menarik juga untuk melihat formasi yang akan digunakan untuk menentang Turkmenistan," katanya.