Luis Suarez tidak dapat memperkuatkan skuad Uruguay dalam pusingan kelayakan Piala Dunia bulan ini selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang Villarreal hujung minggu lalu.

Suarez memulakan perlawanan buat kali pertama musim ini dan memnbantu Atletico Madrid menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan itu -- penglibatan golnya yang kelapan daripada 13 pertemuan dengan Villarreal.

Bagaimanapun, dia terpaksa dikeluarkan berselang 14 minit kerana berasa sakit di lutut kirinya.

Berdasarkan ujian imbasan di Sepanyol, Atletico mendapati lutut Suarez mengalami bengkak dan telah memaklumkan kepada kem Uruguay bahawa penyerang berusia 34 tahun itu tidak dapat beraksi menentang Peru, Bolivia dan Ecuador dalam pusingan kelayakan Piala Dunia sepanjang dua minggu ini.

Bekas pemain Barcelona itu dijangka akan mejalani rawatan lanjut minggu ini dan masih belum terdapat kepastian sama ada dia boleh diturunkan menentang Espanyol pada 12 September ini atau tidak.

Mujur juara bertahan LaLiga itu telah menandatangani Matheus Cunha baru-baru ini dan Angel Correa juga berada dalam prestasi terbaik dengan menjaringkan tiga gol daripada tiga perlawanan pertama musim 2021-22.

Malang buat Uruguay apabila pasukan bimbingan Oscar Tabarez itu perlu beraksi tanpa dua penyerang utama selepas Edinson Cavani juga tidak mendapat pelepasan daripada Manchester United.

Uruguay mengesahkan pengecualian Cavani dalam perlawanan itu memandangkan penyerang United berkenaan tidak dapat ke Amerika Selatan kerana perlu dikuarantin selama 10 hari sebaik pulang ke United Kingdom seandainya menyertai tiga perlawanan berkenaan.