Luis Enrique optimis Sepanyol mampu menempah tempat dalam Piala Dunia tahun depan tetapi tumpuan mereka ketika ini ialah layak menerusi play-off berbanding mengungguli kumpulan.

Harapan La Roja untuk menguasai Kumpulan B semakin kabur berikutan kekalahan 1-2 kepada Sweden, Jumaat lalu, sekali gus meletakkan mereka dua mata di belakang pendahulu itu selain beraksi lebih satu perlawanan.

Buat pertama kalinya Sepanyol kalah dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia sejak peristiwa di Denmark pada 1993 yang mengakhiri rekod 66 perlawanan tanpa kalah mereka.

Ketika di pertengahan kempen ini, Luis Enrique percaya perebutan tempat teratas sudah di luar kawalan pasukannya dan dia segera mahu mengalihkan tumpuannya untuk mendapatkan tempat kedua, seterusnya ke play-off.

Bercakap kepada media menjelang pertemuan dengan Georgia, awal pagi esok, ketua jurulatih itu berkata: "Bola sepak adalah permainan tentang kesilapan, individu dan kolektif.

"Tiada satu pun punca daripadanya mengapa kami tewas bertemu Sweden. Ia berkaitan segala-galanya.





"Saingan ini bukan lagi bergantung pada kami. Tetapi terserah kepada kami sendiri untuk menang dan berada dalam play-off, memenangi perlawanan dan layak ke Piala Dunia.

"Kami akan terus perbaiki persembahan tetapi saya cuba bersikap optimis."

Luis Enrique juga menawarkan sokongan terhadap pertahanan, Eric Garcia, selepas prestasinya ketika menentang Sweden mengundang pertikaian.

"Saya tidak setuju dengan kritikan itu," katanya mengenai pertahanan Barcelona tersebut.

"Dia bergelut untuk menyesuaikan diri, begitu juga dengan Aymeric Laporte kerana perlu berdepan dengan corak permainan Sweden yang sebegitu. Saya gembira dengan penampilan mereka."