Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, menjelaskan ketua pasukan, Lionel Messi, sedia dipertaruhkan untuk menghadapi Paraguay dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan (CONMEBOL).

Messi terlepas dua perlawanan lalu gara-gara cedera lutut sebelum kembali ke Paris Saint-Germain (PSG) dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Manchester City dan kekalahan mengejut dalam Ligue 1 di Rennes, minggu lalu.

Pemenang enam Ballon d'Or itu kini bersama skuad La Albiceleste yang akan mengunjungi Paraguay, pagi esok, dan Messi akan diberi kesempatan untuk mengetuai pasukannya.

"Messi berlatih dengan kami semalam tanpa sebarang masalah dan pagi ini juga, jadi dia dalam keadaan baik untuk beraksi," kata Scaloni kepada wartawan.

"Apa yang paling penting dan seperti rakan sepasukan yang lain, dia mahu turut serta dan melakukan yang terbaik buat pasukan kebangsaan. Mengenai tahap kecederaannya, ia telah terbukti apabila dia sempat beraksi dua perlawanan sebelum melaporkan diri jadi ini baik-baik saja."






Ketika rehat antarabangsa terakhir, Messi mengatasi legenda Brazil, Pele, sebagai pencetak gol terbanyak di Amerika Selatan di peringkat antarabangsa.

Pemain berusia 34 tahun itu melakar hatrik buat juara Copa America berkenaan dalam kemenangan 3-0 ke atas Bolivia bulan lalu untuk mengumpul 79 gol bersama skuad skuad kebangsaan.

Argentina -- di tempat kedua di belakang Brazil dalam kempen kelayakan -- belum tewas dalam usaha mara ke temasya Qatar 2022 menerusi lima kemenangan daripada lapan perlawanan selain belum kalah dalam 22 perlawanan.

"Rintangan yang kami miliki atau yang saya miliki dalam hal ini sebagai jurulatih ialah sentiasa memberi saingan dalam setiap perlawanan. Saya tahu kami melaksanakan aspek itu dengan baik, cuba lagi atau menguatkan lagi mereka agar mereka dapat ditingkatkan dan mencubanya dalam latihan walaupun sedikit selain cuba memperincikannya," katanya lagi.

"Kami percaya bahawa di peringkat kolektif, pasukan kebangsaan ini mempunyai prestasi yang cukup teratur dan saya berpendapat di tahap individu, terbukti kami memiliki pemain yang mampu menjadi pemutus perlawanan, tetapi secara keseluruhannya saya fikir kami telah banyak berkembang dalam hal itu.

"Salah satu perkara yang dilakukan adalah mewujudkan perasaan sepasukan. Itulah titik tolaknya kerana kami bekerja sebagai sebuah pasukan dan kerana sesiapa yang masuk atau pergi sedar apa yang harus dilakukan dan saya rasa itu adalah aspek yang paling penting .

"Kemudian seperti semua pasukan, ada banyak perkara yang perlu diperbaiki, lebih-lebih lagi kami hanya mempunyai beberapa hari sahaja untuk berkumpul. Tetapi perasaan kami tetap teguh sebagai sebuah pasukan, kami melakukannya dengan baik."