Pertahanan Manchester City, Ruben Dias, digugurkan skuad kebangsaan Portugal bagi perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia bulan ini bagi memberikan ruang untuk pemain berusia 24 tahun itu meneruskan proses pemulihannya daripada kecederaan paha.

Pertahanan tengah itu tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan sejak mengalami kecederaan itu ketika pasukan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan menewaskan Peterborough United dalam aksi Piala FA bulan lalu.

Ketua jurulatih, Fernando Santos, turut tidak dapat memanggil dua lagi pemain kerana masalah kecederaan, iaitu Renato Sanches dan Nelson Semedo, dalam usahanya untuk mengelak daripada menjadi pengendali Portugal pertama gagal melayakkan diri ke kejohanan utama selepas mereka terlepas kelayakan ke Piala Dunia Perancis 1998.

Kekalahan 1-2 kepada Serbia menyaksikan Portugal gagal layak secara automatik ke Piala dunia 2022 dan mereka akan bertemu Turki dalam separuh akhir pusingan playoff pada 24 Mac ini sebelum pemenang perlawanan itu menghadapi Itali atau Macedonia bagi penentuan slot ke Qatar lima hari kemudian.

Senarai pemain Portugal:
Anthony Lopes (Lyon), Diogo Costa (FC Porto), Rui Patricio (AS Roma); Cedric Soares (Arsenal), Joao Cancelo (Manchester City), Diogo Dalot (Manchester United), Goncalo Inacio (Sporting CP), Jose Fonte (Lille), Pepe (FC Porto), Nuno Mendes (Paris Saint-Germain), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund); Danilo Pereira (Paris Saint-Germain), Matheus Nunes (Sporting CP), William Carvalho (Real Betis), Ruben Neves (Wolves), Bruno Fernandes (Manchester United), Joao Moutinho (Wolves), Otavio Monteiro (FC Porto); Bernardo Silva (Manchester City), Joao Felix (Atletico Madrid), Diogo Jota (Liverpool), Goncalo Guedes (Valencia), Rafael Leao (AC Milan); Andre Silva (RB Leipzig), Cristiano Ronaldo (Manchester United).