UAE 3 THAILAND 1

Emiriah Arab Bersatu (UAE) meraih tiga mata berharga dalam saingan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia selepas menewaskan Thailand 3-1 di Dubai awal pagi tadi.

Pasukan tuan rumah itu meraih kemenangan yang amat penting untuk menentukan nasib mereka dalam kumpulan itu untuk kini berada di tangga kedua di belakang Vietnam.

Caio Canedo membuka jaringan buat UAE pada minit ke-14 apabila bola daripada hantaran lintang Bandar Al Ahbabi gagal dikeluarkan dengan kemas oleh pertahanan lawan untuk pemain tengah menyerang itu melepaskan voli sempurna bagi menewaskan penjaga gol, Sivaruk Tedsungnoen.

10 minit berselang, giliran penyerang sensasi UAE, Ali Mabkhout, mencuri tumpuan apabila memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang pertahanan lawan tetapi bintang Al Jazira itu gagal memenangi situasi satu lawan satu dengan panjaga gol.

Pasukan kendalian Bert van Mawijk itu, bagaimanapun, menggandakan kelebihan mereka tidak lama selepas itu dengan Al Ahbabi sekali lagi bertindak sebagai pengumpan bola yang kemudian ditanduk masuk Fabio Lima selepas setengah jam perlawanan.

Thailand merapatkan jurang pada 10 minit pertama babak kedua apabila Suphanat Muenta memanfaatkan bola yang gagal dikeluarkan pertahanan lawan daripada sepakan penjuru untuk menewaskan Ali Khaseif bagi menjadikan kedudukan 1-2.

Mabkhout sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang pada 10 minit terakhir, kali ini menerusi satu lagi umpanan gemilang Al Ahbabi dari sebelah kanan, di mana penjaring terbanyak sepanjang zaman UAE itu sekadar melakukan tandukan yang melintasi atas palang gol.

Pemain gantian, Muhammad Juma, mengesahkan kemenangan pasukannya apabila menjadikan kedudukan 3-1 dalam waktu kecederaan.

Dengan kemenangan terbaru itu, UAE kini berada di tangga kedua Kumpulan G dengan 12 mata, kurang dua mata di belakang pendahulu, Vietnam, manakala Thailand pula terikat sembilan mata dengan Malaysia, masing-masing di tangga ketiga dan keempat.

*Sumber: AFC