Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, menyifatkan Vietnam sebagai bijak mengambil kesempatan dalam situasi di depan ketika menundukkan Malaysia 1-2, awal pagi tadi.

Aksi kedua Harimau Malaya di Dubai dalam baki kempen pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu memperlihatkan pasukan negara mampu menyaingi Vietnam sebelum penyudah berbisa seteru Asia Tenggara itu meranapkan harapan Malaysia.

"Kami turut mempunyai peluang, menyerang. Kedua-dua pasukan bermain secara terbuka untuk cuba mendapatkan keputusan positif.

"Kami dibolosi melalui (situasi) bola mati melalui sepakan penjuru selain sepakan penalti.

"Di sebalik kegagalan kami memenangi perlawanan, saya masih memiliki keyakinan bahawa anak buah saya bermain dengan baik pada hari ini," katanya.

Malaysia dan skuad Gajah Perang saling berebut tempat ketiga Kumpulan G selepas masing-masing mengumpul sembilan mata selepas tujuh perlawanan.





Bagaimanapun, pasukan bimbingan pakar dari Jepun, Akira Nishino, itu masih tercari-cari rentak kemenangan selepas diikat 2-2 dengan Indonesia dan ditundukkan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-3, Khamis lalu.

Walaupun menghormati lawan, Cheng Hoe tetap bersemangat memburu kemenangan dalam perlawanan terakhir pada Rabu depan.

"Kami perlu tingkatkan permainan ketika berdepan Thailand. Kami perlu memberi fokus kepada perlawanan seterusnya bertemu Thailand.

"Ia bukan satu perlawanan yang mudah memandangkan Thailand lebih baik daripada kami.

"Sebagai jurulatih, saya perlu mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Thailand."