Selepas dua tahun mengemudi Harimau Malaya, Kim Pan-gon dituntut agar membawa pembaharuan.

Demikian pandangan yang dilontarkan oleh bekas ketua pasukan kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak, yang hadir sebagai tetamu di Studio Astro Arena sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, malam tadi.

Ranking Malaysia melonjak sekitar 20 anak tangga sejak Pan-gon menggalas amanah selaku ketua jurulatih, dan ia seharusnya menjadi penanda aras untuk mereka mengorak langkah yang lebih besar selepas pencapaian layak secara merit ke Piala Asia dalam tempoh 42 tahun.

Bagaimanapun, skuad kendaliannya tumbang 0-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi untuk mengulangi keputusan sama di Muscat minggu lalu.

"Kita kena kaji balik kedua-dua perlawanan lawan Oman ini.




"Ini bukan tahap sebenar kita," katanya.

Pemain tengah Kuala Lumpur City, Kenny Pallraj, pula menggesa Pan-gon agar kembali berpaling kepada DNA skuad negara ketika pada awal peranannya yang menjuruskan kepada pemilihan taktikal bersandarkan pemain yang sesuai.

"Kena cepat bedah siasat. Kita kena lebih kreatif, DNA (diterapkan Pan-gon) sudah boleh dibaca sebab jurulatih sudah dua tahun di sini.

"Dalam sepakan percuma, tiada apa yang istimewa. Kita perlu ambil kesempatan ini.




"Kuala Lumpur City menggunakan bola pegun sebagai satu senjata yang penting dan dalam Piala AFC, kami gunakannya sampai ke final," kata Kenny.

Walaupun pahit dan kekalahan adalah lumrah, namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City, Stanley Bernard, mengerti keresahan di lubuk hati penyokong mutakhir ini.

"Peminat faham (dengan kekalahan), siapa yang tidak mahukan kemenangan. Tetapi jika mereka tidak bersaing di tahap yang sepatutnya, di situlah kekecewaan itu masuk (meresap).

"Pemain perlu bersaing sampai akhir permainan," katanya.