Kuwait memperlihatkan bahawa masih banyak kerja rumah yang perlu direncana jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sebelum kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bersambung 4 Jun depan.

Harimau Malaya tumbang 1-4 kepada lawan di ranking ke-148 itu dalam aksi pemanas badan di Stadium 7he Sevens Dubai, tengah malam tadi.

Selepas tiga hari berlatih di sana menjelang aksi sebenar bagi baki tiga perlawanan Kumpulan G, skuad kebangsaan mengambil kesempatan untuk mengatur dua perlawanan persahabatan.

Kali ini Cheng Hoe bertindak menguji peranan pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula, di barisan utama untuk menggerakkan bahagian serangan bagi menggantikan Shahrel Fikri Md Fauzi yang digugurkan ekoran kecederaan.





Selain itu, pengendali negara tersebut mengetengahkan Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria di bek kanan dan tengah di samping ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Corbin Ong.

Safawi Rasid pula direhatkan terlebih dahulu untuk memberi laluan kepada Akhyar Rashid menggalas peranan utama dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memiliki dua kesempatan pada awal permainan.

Namun, pintu gol negara yang dikawal Farizal Marlias ditembusi pada minit ke-21 sebelum De Paula meledak jaringan pertamanya untuk Malaysia, tujuh minit kemudian.

Cheng Hoe tidak berlengah untuk mencuba formula berbeza membabitkan sembilan pertukaran selepas rehat -- 12 pertukaran keseluruhannya di setiap posisi sepanjang perlawanan termasuk memberi peluang kepada penjaga gol kacukan, Samuel Sommerville, sebagai pertukaran terakhir untuk menggantikan Khairul Azhan Khalid.

Pendekatan itu memberi ruang kepada Kuwait untuk menyumbat tiga gol dalam tempoh 11 minit, bermula tandukan Fahad Alhajeri pada minit ke-55.





Skuad kendalian Cheng Hoe itu akan berdepan satu lagi perlawanan ujian iaitu bertemu Bahrain pada Sabtu ini menjelang aksi sebenar pusingan kedua kelayakan berkenaan.

Malaysia di tangga kedua kumpulan di belakang Vietnam dan akan menyambung kempen berdepan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada 4 Jun terlebih dahulu sebelum bertemu Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) dengan kesemua perlawanan berlangsung di Dubai.