Seolah-olah ada yang tidak kena berdasarkan lenggok badan pemain kebangsaan yang menjadi sebahagian kepada titik tolak kekalahan Harimau Malaya, tengah malam tadi.

Peluang skuad kebangsaan untuk melolosi peringkat Kumpulan D, kelayakan Piala Dunia/Piala Asia semakin samar berikutan tersungkur 0-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Ketiga-tiga tetamu di Studio Astro Arena yang terdiri daripada bekas kapten negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City, Stanley Bernard, dan tonggak Warga Kota, Kenny Pallraj, mempertikai semangat juang yang ditonjolkan pemain, khususnya selepas kesilapan berlaku.

"Ada yang sesuatu yang tidak kena berdasarkan bahasa tubuh pemain selepas sepakan penalti dilepaskan.

"Tidak nampak ada pemain yang ambil bola dan menyeru rakan-rakan agar berjuang -- yang (boleh mencerminkan ketokohan) pemimpin. Kalau ada sesuatu untuk dikejar maka ada sesuatu untuk dimainkan.

"Untuk menyatukan bilik persalinan adalah salah satu perkara paling sukar. Setiap pemain ada detik tersendiri.

"Bahasa isyarat -- tidak bercakap tentang individu tapi ia banyak menceritakan perkara yang berlaku di sekeliling tidak menjadi," jelas Stanley.

Menurutnya lagi: "Ada beberapa fasa (iaitu) kumpulan pemain yang berada di dalam bilik persalinan tidak mahu menjatuhkan sesama sendiri, mereka saling berjuang.




"Ada juga yang memang sayangkan jurulatih dan bermain demi jurulatih.

"Malam ini langsung tiada sebarang elemen ini.

"Banyak cara hendak menang terutama untuk lakar kejutan misalnya kalau pemain tidak dapat menguasai kawasan tertentu tapi haruslah memenangi kawasan tertentu pula. Namun, hari ini kita kalah dalam pertempuran ini.

"Ia bermula daripada psikologi, taktikal dan keseluruhannya. Kita haruslah akur bahawa kita sama sekali tenggelam pada hari ini."

Selepas gawang dibolosi, semangat juang seakan-akan luntur lantas tidak menggambarkan DNA Harimau Malaya yang sebelum ini di bawah bimbingan Kim Pan-gon mampu menjadi lawan berbahaya dengan beberapa siri kebangkitan, namun kali ini seolah-olah terpukau dengan gerakan gol Mohammaed Al-Ghafri pada masa kecederaan.

Zaquan: "Kita tidak nampak aura sang pejuang.




"Kita boleh tengok bahasa tubuh seseorang pemain itu sama ada larat lagi untuk bermain.

"Saya tidak nampak ada pemain yang berkata 'come on guys' (beri dorongan) walaupun ketinggalan.

"Saya nampak pasukan negara masih boleh beri saingan.




"Saya tidak cakap secara keseluruhannya pemain tidak bersemangat pada malam ini.

"Saya pernah berada dalam situasi mereka. Kena ada pemain yang cetuskan (semangat)."

Tambah Kenny: "Dalam 11 pemain, bukan semua memberikan yang terbaik.

"Kalau seorang pemain menghilangkan diri, ia akan menyusahkan pasukan.

"Pemain tidak memberi reaksi kepada bola. Pemain beri pilihan untuk menembusi. Kita beri mereka hantaran lolos yang merupakan hantara paling berbahaya.

"Kita beri mereka ruang dan masa yang cukup."