Pengurus pasukan Malaysia, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengakui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan bedah siasat bagi memastikan kejayaan yang lebih jitu selepas kempen pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai berakhir awal pagi tadi.

Skuad asuhan Tan Cheng Hoe itu menamatkan saingan Kumpulan G di tangga ketiga di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam selepas menundukkan Thailand 1-0, awal pagi tadi.

"12 mata yang dikutip di sebalik 15-16 mata yang disasarkan bukanlah terlalu buruk, kami lebih memikirkan persediaan akan datang.

"Bukan hanya jurulatih, pemain juga perlu dibincangkan, perlu ada perbincangan untuk menyediakan pasukan ini.

"Hendak kata lulus tidak lulus, (pencapaian kami) bukanlah terlalu buruk tetapi cuma tidak menepati sasaran," katanya.





Sementara itu, pemerhati bola sepak, Datuk Richard Scully, mempertahankan khidmat Cheng Hoe untuk terus menggalas tanggungjawab memacu skuad negara dalam pusingan seterusnya termasuk Piala AFF, hujung tahun ini.

Namun, ada aspek yang perlu diambil kira termasuk penyenaraian pemain naturalisasi.

"Beliau menghadapi kekangan tetapi masih relevan untuk mengemudi skuad negara.

"Pemain naturalisasi perlu diperhalusi selepas apa yang kita lihat di Dubai, banyak iktibar yang boleh kita belajar," katanya.