Australia kini berkelebihan lima mata di puncak Kumpulan B, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia selepas menewaskan Kuwait 3-0 awal pagi tadi.

Matthew Leckie menjaringkan gol ketiganya dalam tiga peampilan bersama Socceroos untuk meletakkan mereka di depan, hanya seminit selepas perlawanan dimulakan, susulan menanduk masuk bola umpanan Martin Boyle.

Boyle turut berpeluang untuk menggandakan jaringan itu selepas Bandar Al Salama menjatuhkan James Holland dalam kotak penalti dan walaupun sepakannya penaltinya diselamatkan, muncul pula Jackson Irvine untuk menyudahkan bola muntah berkenaan.

Boyle melepaskan rembatan yang sedikit tersasar sebelum Aziz Berhich melakukan percubaan yang tidak jauh dari tiang kanan gawang gol untuk Australia menamatkan separuh masa pertama dengan 15 percubaan manakala Kuwait hanya mampu membalas tiga daripadanya.

Penjaga gol Australia, Mat Ryan, terpaksa bertindak tangkas untuk menafikan percubaan Shabaib Al-Khaldi ke 'near post' selepas sejam permainan tetapi Australia memastikan pungutan tiga mata mereka empat minit kemudian apabila sepakan percuma Ajdin Hrustic melepasi jangkauan penjaga gol, Sulaiman Abdulghafoor, dan menuju tepat ke jaring berhampiran tiang kanan.

Australia kini berkelebihan lima mata di depan Kuwait dan Jordan selepas memenangi kesemua lima perlawanan pertama untuk kekal mengepalai Kumpulan B.