AUSTRALIA 5 TAIWAN 1

Mitch Duke menjaringkan dua gol ketika Australia semakin menghampiri pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia selepas membelasah Taiwan 5-1 dalam aksi Kumpulan B awal pagi tadi.

Socceroos merekodkan kemenangan bersih sepanjang enam perlawanan pertama dan hanya dipisahkan dengan satu kemenangan untuk mengesahkan kemaraan selepas meneruskan dominasi mereka di Stadium Antarabangsa Al-Ahmad, Kuwait.

Harry Souttar dan Jamie Maclaren, masing-masing menjaringkan gol kelima mereka dalam pusingan kelayakan itu sebelum Trent Sainsbury menjadikan kedudukan 3-0 menjelang waktu rehat.

Dalam babak kedua, Duke menghasilkan gol berganda yang mengapit jaringan Gao Wei-Jie buat Taiwan.

Ketua jurulatih, Graham Arnold, menggesa Australia untuk beraksi lebih kemas selepas mencatatkan kemenangan ke atas Kuwait, terutama dalam menghadapi corak permainan bertahan Taiwan.

Souttar menanduk masuk gol pembukaan susulan sepakan sudut Riley McGree pada minit ke-11 sebelum pemenang Anugerah Kasut Emas A-League, Maclaren, menyempurnakan sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh Chen Wei-chuan.

Sainsbury kemudian menanduk masuk satu lagi sepakan penjuru McGree untuk memberikan Asutralia kelebihan selesa pada penghujung babak pertama, di mana Brandon Borrello turut melakukan percubaan jarak dekat yang terkena tiang gol.

Borrello melakukan hantaran lintang yang ditanduk masuk Duke pada 20 saat pertama babak kedua sebelum Gao menjaringkan gol ketiga Taiwan daripada tujuh perlawanan peringkat kumpulan menerusi penyudah kemasnya.

Duke menutup perlawanan itu dengan gol kedua peribadinya dengan menolak masuk ke gawang yang tidak dijaga susulan menerima hantaran Nikita Rukavytsya pada enam minit terakhir.