PARAGUAY 0 ARGENTINA 0

Lionel Messi pasti kecewa ketika Argentina buntu tanpa jaringan dengan Paraguay dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan (CONMEBOL).


Argentina memiliki banyak peluang ketika menentang Paraguay di Asuncion, pagi tadi, tetapi juara Copa America itu masih gagal mencipta sebarang jurang.

Kedudukan Argentina bimbingan Lionel Scaloni itu di posisi kedua kelayakan bagaimanapun tidak tergugat selepas sembilan perlawanan dalam usaha layak ke kempen Qatar 2022 selain belum tewas dalam 23 aksi.

Messi turun dengan reputasi sebagai penyerang paling berbisa Amerika Selatan selepas melakar hatrik ke atas Bolivia ketika rehat antarabangsa terakhir untuk mengatasi catatan legenda Brazil, Pele, (77).



Bintang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut pastinya bersemangat untuk melanjutkan pencapaian itu ketika berdepan Paraguay dan dia mencipta peluang terbaik pada minit ke-11.

Messi, yang menerima 437 hantaran dalam kempen kali ini -- tertinggi oleh mana-mana pemain -- mempamerkan kelincahannya dengan membelah pertahanan sebelum melorongkan bola kepada Lautaro Martinez, tapi gerakan sempat dipatahkan Omar Alderete di depan pintu gol selain sebelum diterpa Angel Di Maria.

Argentina mengawal sebahagian besar 45 minit pembukaan permainan sambil Paraguay turut hampir menggugat lawan.

La Albiceleste terus mengasak sebaik lima minit memasuki babak kedua tetapi percubaan Rodrigo de Paul dari jarak enam ela masih belum cukup untuk menembusi pintu gol tuan rumah.

Empat minit kemudian, Paraguay hampir memberi kejutan apabila giliran Miguel Almiron meraih peluang menarik tetapi Emiliano Martinez lebih tangkas untuk mengekang rembatan bintang Newcastle United itu.

Joaquin Correa turut melepaskan satu peluang berharga apabila tandukannya dari jarak dekat tidak mengenai sasaran ketika perlawanan berusia sejam.

Martinez terus sibuk dalam babak kedua itu tetapi penjaga gol lawan nyata dalam prestasi terbaik sementara Carlos Gonzalez pula hampir menghadiahkan kemenangan Paraguay ke atas Argentina sejak 2009 pada minit ke-88.